Saturday, May 28, 2022

19 Februari 2000 | Kejohanan Ping Pong Berpasukan Sedunia Dawei 2000

Ping pong berasal dari England pada akhir abad ke-19. Permainan ini pada mulanya dimainkan sebagai permainan masa lapang dengan menggunakan alat yang diubahsuai. Permainan ini telah diperkenalkan ke Amerika Syarikat dan kemungkinan alat-alat permainan Ping Pong dikeluarkan dalam tahun 1887. Permainan ini juga sangat popular di negara-negara Eropah Tengah dalam tahun 1905-1910. Sebelum ini permainan Ping Pong yang diubahsuai telah diperkenalkan ke negara Jepun dan kemudiannya merebak ke negara China dan Korea.

Pada awal tahun 1920 beberapa persatuan telah ditubuhkan di England, Wales, negara-negara Eropah dan Asia dan undang-undang yang seragam diperkenalkan. Selepas enam puluh tahun, sukan ini telah dibangunkan sebagai sukan utama oleh berjuta-juta orang samada untuk pertandingan atau sebagai memenuhi waktu lapang.

Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (International Table Tenis Federation) telah diasaskan pada 15 Januari 1926 atas inisiatif Dr Georg Lehmann (Germany). Pada 12 Disember 1926, perlembagaan dan undang-undang Ping Pong telah diluluskan di London.

Kejohanan Ping Pong Sedunia yang pertama telah diadakan di London dalam bulan Disember 1926 dan diikuti dengan Kejohanan Dunia ke-2 diadakan di Stockholm pada bulan Januari 1928 dan selepas itu acara tahunan sehingga 1939. Kejohanan ini disambung semula dalam tahun 1947 di Paris dan berterusan sehingga 1957. Selepas Mesyuarat Agung, kejohanan ini diadakan dua kali setahun.

Pada tahun 1987 Ping Pong Individu dan Berpasukan pada kebiasaannya telah diadakan serentak pada tiap-tiap siri kecuali pada tahun 1999 di mana Kejohanan ini dipisahkan kepada dua bahagian.

Pengelolaan kejohanan kali ke-45 telah diberikan kepada Belgrade, Republik Czech tetapi oleh kerana pergolakan politik di negara itu tidak mengizinkan dan ITTF telah memindahkan venu kejohanan ke Netherlands pada bulan Ogos 1999 bagi acara individu dan ke Kuala Lumpur bagi acara Berpasukan dari 19 hingga 26 Februari 2000. Acara berpasukan mengandungi 5 orang pemain perseorangan bagi pasukan lelaki dan 5 orang pemain perseorangan bagi Pasukan Wanita. Hanya 3 orang pemain perseorangan sahaja akan mengambil bahagian dalam setiap pertandingan yang mengandungi lima perlawanan.

Kejohanan Ping Pong Berpasukan Sedunia (lelaki dan wanita) akan dilangsungkan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 19 hingga 26 Februari 2000. Sebanyak 100 buah negara dari sejumlah 185 negara ahli Persatuan Ping Pong Antarabangsa dijangka akan mengambil bahagian di dalam Kejohanan yang disertai oleh 1200 peserta dan pegawai. Lebih kurang 1000 orang ahli media elektronik dan cetak dari seluruh dunia akan hadir untuk memberi liputan.

Setem 30sen
Illustrasi setem ini menggambarkan negara Malaysia sebagai tuan rumah kepada Kejohanan Ping Pong Berpasukan Sedunia.

Setem 50sen
Illustrasi setem ini memaparkan maskot rasmi Kejohanan Ping Pong Berpasukan Sedunia.

Setem RM1
Illustrasi setem menggambarkan penyertaan pemain-pemain Ping Pong handalan dunia yang akan bertanding di Malaysia.