Saturday, April 16, 2022

20 Februari 1971 | Sultan Abdul Halim

Sultan Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927 iaitu pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah sebagai Tunku Abdul Halim. Paduka ayahanda baginda, Raja Muda Kedah (kemudian Sultan Badlishah), merupakan paduka putera ketujuh Sultan Abdul Hamid Halim. Paduka bonda baginda, Tunku Sofiah, merupakan puteri kepada Tunku Mahmud. Baginda merupakan anakanda kedua Tunku Badlishah bersama Tunku Safiah binti Tunku Mahmud, namun putera tertua yang hidup. Baginda kemudian menjadi Raja Muda Kedah pada tahun 1949.

Baginda merupakan lepasan pelajar Kolej Wadham, Oxford, di mana baginda mendapat diploma dalam Sains Sosial dan Pentadbiran Awam. Baginda mewarisi takhta Kedah daripada ayahandanya pada Julai 1958 dan ditabalkan pada Februari 1959.

Selain itu, baginda ialah anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama).

Kebawah Duli Tuanku telah menunaikan ibadat haji pada tahun 1974 di kota suci Mekah. Antara yang mengikuti rombongan baginda mengerjakan ibadat haji ialah Tun Dr. Mahathir.

Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dari 20 September 1965 sehingga 21 September 1970. Apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970, ketika berumur 43 tahun, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda yang pernah dilantik iaitu selepas Tuanku Syed Putra, Raja Perlis yang dilantik ketika berumur 40 tahun.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, 43 tahun, selamat ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong yang kelima. Baginda mengucup keris kerajaan (Keris Panjang Diraja) pada pukul 11.09 minit pagi dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu.



21 Februari 2017 | Tumbuhan Berbunga Yang Unik

Bunga orkid terkenal kerana kecantikannya dan ia tergolong dalam keluarga terbesar bagi tumbuhan bebunga. Terdapat lebih dari 3,000 jenis orkid liar yang tumbuh di serata hutan gunung dan lembah di Malaysia. Hujan yang turun sepanjang tahun merupakan salah satu faktor yang menggalakkan pertumbuhan yang subur untuk orkid. Orkid merupakan sejenis epiphytes yang hidup dengan bergantung kepada pokok lain untuk sokongan, tanpa merosakkan pokok tersebut. Terdapat juga spesies orkid dari jenis terrestial atau darat, yang boleh tumbuh di atas tanah, tanpa memerlukan sokongan daripada pokok lain.

Orkid Hibrid
Orkid Hibrid dihasilkan melalui proses cantuman daripada beberapa spesies yang berbeza, yang menghasilkan bunga dengan rupa dan warna yang amat menarik dan luarbiasa. Orkid hibrid juga mempunyai daya tahan yang lebih tinggi dan mampu hidup dalam persekitaran bandar. Penggemar orkid di Malaysia membiakkan orkid hibrid sejak awal kurun kedua puluh lagi. Orkid hibrid amat popular kerana ia menghasilkan bentuk bunga yang pelbagai dan ia juga membesar dengan lebih pantas. Selain itu, orkid hibrid lebih mudah untuk dibiakkan menggunaakan benih atau meristem. Kini penghasilan. Orkid hibrid menjadi satu industri yang pesat di Malaysia.

Setem 60sen
Rhynchostylis retusa mempunyai jambak yang melendut dengan bunga yang banyak berwarna putih dan merah jambu. Rantingnya berbentuk kon dan mempunyai salutan di bahagian bawah. Daunya pula keras, berwarna hijau pekat, berbentuk bujur dan melengkung ke bawah. Ia tumbuh di kawasan yang lembab dan teduh tetapi cerah dan tidak terkena cahaya matahari secara langsung. Bunganya berbau seperti rempah. Rhynchostylis juga dikenali sebagai foxtail orchid.


Setem 70sen
Phalaenopsis violacea terdiri daripada dua spesies, dan sering dijumpai di dahan pokok yang teduh dan terlindung. Spesies Malayan mempunyai bunga berbentuk bintang dengan daun yang panjang, manakala spesies Bornean pula mempunyai bunga yang lebih besar dan bulat, dengan daun yang juga bulat. Bunga daripada spesies ini kebiasaannya berwarna ungu, akan berbunga dalam masa beberapa bulan dan akan kekal berbunga bagi tempoh yang panjang.


Setem 80sen
Vanda Helvola merupakan sejenis orkid epiphyte liar yang tumbuh di hutan, di atas pokok yang berhampiran dengan sungai. Ia mempunyai tangkai yang kuat, dengan daun yang lembut, liat, licin dan berkilat. Orkid dari Hibrid Vanda amat popular di kalangan penggemar orkid kerana ia mempunyai warna-warna yang pelbagai serta ketahanan bunganya. Ia juga sesuai untuk ditanam di dalam rumah.


Setem 90sen
Paphiopedilum Iowii biasanya tumbuh di atas tanah, dan sering dipanggil ‘lady’s slipper orchid’ atau ‘orkid selipar wanita’ kerana bentuknya yang seperti kantung. Ia biasanya bersaiz kecil atau sederhana, dengan kelompok-kelompok daun berbentuk kipas. Bunganya mempunyai pelbagai warna. Beberapa tumbuhan daripada hibrid ini mampu berbunga dua kali setahun. Paphiopedilum Iowii dinamakan sempena Hugh Low, yang menemui orkid ini semasa ekspedisinya ke Gunung Kinabalu, Sabah.


Setem RM1
Orkid dari spesies Arachnis fios-aeris adalah sejenis epiphyte memanjat, dan ia juga sering dipanggil orkid kala jengking. Ia mempunyai tangkai yang melengkung ke bawah dengan jambakan bunga yang berjarak di hujungnya. Ia mempunyai bau yang harum seperti kasturi. Apabila dikacuk dengan spesies yang lain seperti vanda, ia menghasilkan hibrid kacukan yang dipanggil Aranda. Spesies aranda memiliki ciri-ciri terbaik dari spesies kacukannya seperti bentuk bunga dan warna yang menarik dari Vanda, dan tumbesaran yang pantas dari Arachnis.


Setem RM1.10
Papilionanthe hookeriana yang juga dipanggil rumpai Kinta adalah sejenis orkid yang mempunyai tangkai yang panjang, dan selalunya dijumpai tumbuh di kawasan hutan luruh berpaya. Orkid dari spesies ini hidup dalam bakul yang bergantung pada dahan pokok yang kering dengan kulit yang menggerutu. Ia memerlukan cahaya matahari yang banyak serta kelembapan yang tinggi untuk berbunga. Hibrid dari jenis Papilionanda adalah antara yang paling mudah untuk hidup di kawasan tropika, dan tidak mmerlukan penjagaan yang rapi.