Saturday, March 19, 2022

21 Februari 2011 | Pelancongan Tanah Tinggi

Malaysia terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana mempunyai pelbagai jenis tarikan yang unik bagi pelancong termasuk pulau-pulau yang indah, tempat bersejarah, flora dan fauna yang menarik lagi unik dan juga tanah-tanah tinggi yang nyaman dan antara yang paling cantik di dunia.

Malaysia mempunyai cuaca panas tropika dan lembab sepanjang tahun, dengan suhu purata di antara 20°C ke 30°C. Dengan itu tanah tinggi merupakan destinasi percutian yang terbaik dan popular, bukan sahaja untuk para pelancong, tetapi juga untuk rakyat tempatan yang ingin melarikan diri dari kepanasan dan kesibukan kota.

Tanah tinggi Malaysia yang sejuk bukan sahaja dapat memberikan kelainan dari cuaca panas di tanah rendah, tetapi juga keadaan sekeliling semulajadi yang cantik dan yang lain dari kehidupan harian. Ia adalah destinasi pelancongan yang sesuai untuk berehat dengan aman dan untuk menikmati udara segar dan dingin dari gunung yang menghijau, memerhati burung, melawat taman-taman, menghayati flora dan fauna tanah tinggi yang dipelihara dengan baik dan penduduk asli di setiap tanah tinggi tersebut. 

Terdapat beberapa tanah tinggi di Malaysia yang menjadi tarikan pelancong di seluruh dunia.

Bukit Bendera yang terletak 6km dari George Town merupakan satu destinasi pelancongan yang popular di Pulau Pinang. Bukit Bendera merupakan sebuah kompleks bukit-bukau dan susur bukit, di mana puncak tertinggi adalah Western Hill iaitu lebih kurang 830meter dari aras laut. Selain cuaca yang dingin dan pemandangan George Town, Tanjung Bungah dan tanah daratan yang cantik dari puncak bukit, pelancong juga dapat menghayati pemandangan rumah zaman kolonial, taman bunga, taman burung dan juga monyet dari spesies Macaque. Sebahagian dari flora dan fauna di Bukit Bendera adalah spesies menjalar dan nadir di mana kewujudannya adalah terancam. Pelancong boleh memilih untuk menaiki keretapi menerusi Penang Hill Railway ataupun berjalan kaki sepanjang 5.1km untuk mendaki Bukit Bendera.

Cameron Highlands adalah antara tempat pelancongan tanah tinggi yang paling popular di Malaysia. Terletak lebih kurang 1,800meter dari aras laut di Pahang. Ia sangat terkenal dengan cuacanya yang dingin dan tanahnya yang subur. Antara tarikan di Cameron Highlands termasuk kebun teh, kebun sayur-sayuran, kebun strawberry, taman bunga ros, lembah kaktus, air terjun, flora dan fauna yang unik, puncak bukit yang tinggi, gaung yang dalam, hutan yang menghijau, tasik yang tenang, anak sungai yang berliku-liku, rumah rehat, tempat beribadah, dan tidak ketinggalan orang-orang asli yang begitu istimewa.

Gunung Mat Cincang pula adalah gunung yang kedua tinggi di Pulau Langkawi, Kedah. Walaupun ia cuma lebih kurang 710meter tinggi, kemudahan kereta kabel, kompleks membeli belah dan jambatan gantung menjadikannya satu destinasi popular bagi pelancong. Kereta kabel Langkawi menjadi tarikan semua pelancong kerana ia menghubungkan Burau Bay Resort di Teluk Burau ke Gunung Mat Cincang dari udara, di mana terletaknya jambatan gantung Langkawi. Perjalanan naik ke puncak Gunung Mat Cincang amat mengkagumkan dengan pemandangan hijau yang subur kabur perlahan-lahan apabila semakin tinggi dan jika berjalan kaki di atas jambatan gantung setinggi 700meter tersebut, kelihatan pemandangan menakjubkan pulau-pulau di bawah sehingga ke negara Thailand.

Kundasang merupakan sebuah kampung di Sabah, Borneo yang terletak di tebing Lembah Kundasang, lebih kurang 6km dari Taman Negara Kinabalu. Ia terkenal dengan pasar sayur-sayuran yang dibuka tujuh hari seminggu dan juga pemandangan Gunung Kinabalu yang indah. Terdapat banyak kebun di tebing bukit yang menanam sayur-sayuran seperti kobis, tomato, lobak merah, daun salad, jagung, kobis bunga, bayam, pokok hiasan, bunga dan juga buah-buahan kegemaran tempatan seperti rambutan, mangga, durian boleh dibeli dengan harga yang berpatutan. Ikon utama pekan ini adalah sebiji sayur kobis yang besar yang melambangkan hasil utama tanah tinggi ini.





22 Februari 2003 | Mawar di Malaysia

Keindahan bunga mawar menjadi inspirasi kepada penyair, penulis dan pelukis sepanjang zaman. Bunga ini adalah salah satu bunga yang paling diminati bukan sahaja kerana bentuknya yang cantik, tetapi kerana bau harumnya yang amat istimewa. Ia sering menjadi bunga pilihan pada hari-hari istimewa seperti harijadi, ulangtahun, Hari Kekasih dan pelbagai perayaan.

Spesies bunga mawar yang popular di Malaysia adalah Rosa hybrida dan salah satu spesies dari kumpulan ini adalah Hybrid Tea. Ia tumbuh dari proses tunasan dan bunga mawar yang dihasilkan dari kacukan ini boleh didapati dalam pelbagai warna, saiz dan bentuk. Floribunda dan Rosa centifoliaadalah antara bunga mawar unik yang tumbuh melalui proses ini.

Rosa centifolia adalah antara mawar yang paling digemari kerana kelopak bunga ini boleh digunakan untuk menghasilkan minyak yang harum. Ia biasanya digunakan untuk menghasilkan minyak wangi serta memberi haruman mawar kepada produk-produk lain. Pemberian bunga mawar juga mempunyai maknanya yang tersendiri. Adat memberi mawar sebagai satu cara menyampaikan hajat atau pesanan dikesan pada kurun ke-15 di Parsi. Adat ini dibawa ke Eropah pada kurun ke-18 dan ia menjadi popular pada kurun ke-19 sebagai satu cara unik untuk menyampaikan pesanan. Pesanan istimewa ini disampaikan melalui pemilihan jenis mawar, warna dan jumlah yang dihantar.







23 Februari 2010 | Haiwan Terancam

Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) yang juga dikenali sebagai Harimau Belang, cuma boleh didapati di Semenanjung Malaysia dan merupakan subspesies harimau yang terkecil berbanding dengan subspesies harimau yang lain. Belangnya adalah menyerupai Harimau Indochina tetapi saiznya adalah lebih kurang Harimau Sumatera, dengan berat purata 120 kg untuk harimau jantan dewasa dan 100 kg untuk harimau betina. Harimau jantan berukuran lebih kurang 237 cm panjang dari kepala hingga ke ekor, manakala harimau betina berukuran lebih kurang 200sm panjang. Harimau Malaya boleh dijumpai di kawasan tanah rendah di hutan hujan di Semenanjung Malaysia dan memburu mangsa seperti rusa, babi hutan dan binatang ternakan.

Harimau Korea (Panthera tigris altaica) juga dikenali sebagai Harimau Siberia, Amur, Manchuria dan China Utara dan merupakan subspesies yang terbesar berbanding dengan subspesies harimau yang lain. Kajian yang dibuat pada tahun 2009 juga mendedahkan bahawa jumlah subspesies harimau Siberia kini sama dengan harimau Caspian yang kini telah pun pupus. Harimau Korea boleh mencapai 4m panjang, termasuk ekornya dengan berat sehingga 290 kg. Bulu Harimau Korea juga lebih tebal dan kasar berbanding dengan yang lain. Walau bagaimanapun, pada musim sejuk, bulunya adalah lebih padat, panjang dan lembut. Harimau Korea terdapat di kawasan gunung yang rendah. Makanan utama Harimau Korea adalah babi hutan, rusa dan juga makan binatang yang lebih kecil seperti arnab dan ikan.

Kini harimau merupakan haiwan terancam. Sukan memburu haiwan tidak lagi menjadi ancaman utama kepupusan harimau, tetapi zaman ini, ancaman utama harimau adalah kehilangan habitat, kekurangan haiwan untuk diburu untuk dijadikan makanan seperti rusa yang diburu oleh manusia untuk dagingnya. Tulang harimau juga digunakan sebagai ubat tradisional Cina untuk mengubati berbagai penyakit manakala daging harimau juga merupakan satu hidangan eksotik di restoran tertentu. Bahagian lain dari badan harimau seperti kuku, taring dan kulit juga dicari untuk dijadikan piala hasil dari buruan, untuk ilmu sihir dan sebagai bahan hiasan. Tiga dari sembilan sub-spesies harimau di dunia kini telah pupus, iaitu Harimau Caspian, Javan dan Balinese. Harimau Malaya dan Harimau Korea juga semakin berkurangan disebabkan ancaman utama iaitu manusia.

Dengan keluaran setem ini bersama Post Korea sempena menyambut 50 tahun Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Korea, adalah diharapkan agar ianya memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai dan mengambil langkah yang wajar bagi memastikan harimau tidak akan pupus dan dapat terus hidup di hutan untuk generasi akan datang.


23 Februari 1998 | Sukan Kuala Lumpur 98

Sukan Kuala Lumpur 98 – Sukan Komanwel XVI mempertandingkan 15 jenis sukan. Kebanyakan pertandingan diadakan di Kompleks Sukan Negara yang bertaraf dunia di Bukit Jalil. Pertandingan boling diadakan di Pyramid Bowl, Petaling Jaya. Pelumba basikal pula bertarung di Shah Alam dan Velodrom KL. Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi menjadi tuan rumah kepada penembak.

Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dibina di atas tapak seluas 121 hektar, kira-kira 20kilometer dari pusat bandaraya Kuala Lumpur. Kompleks yang hebat ini terdiri daripada Stadium Nasional yang berkapisiti 100,000 penonton dan menggabungkan ciri-ciri senibina tempatan dan antarabangsa. Kira-kira 400meter dari stadium ini terletak Perkampungan Sukan yang terdiri daripada tiga blok kondominium 30 tingkat dan enam blok kondominium 19 tingkat di lereng bukit.

Stadium Putra yang menjadi saksi pada persembahan cemerlang pasukan gimnastik berirama untuk acara berpasukan juga terletak dalam kompleks ini. Stadium hoki yang berkapasiti 14,000 penonton, Stadium Squasy dan Pusat Akuatik Kebangsaan yang mempunyai kapasiti antara 4,000 penonton hingga 6,000 penonton juga terletak dalam kompleks ini.

Kompleks Sukan Negara dihubungi oleh jaringan lebuhraya yang terbaik. Selain lebuhraya Sungai Besi-Puchong dan lebuhraya Shah Alam, sistem LRT membentuk satu rangkaian yang efisien ke beberapa bahagian bandaraya Kuala Lumpur.

Tempat-tempat lain termasuk Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya, tuan rumah kepada pertandingan ragbi 7 sebelah. Pertandingan tinju pula diadakan di Stadium Tertutup Shah Alam. Pusat Boling Padang di Bukit Kiara. Stadium Badminton Kuala Lumpur, Stadium Juara dan pusat pameran the Mines adalah antara tempat-tempat pertandingan lain.

24 Februari 1979 | Tahun Antarabangsa Kanak-kanak

UNESCO mengisytiharkan 1979 sebagai Tahun Antarabangsa Kanak-kanak. Pengisytiharan itu ditandatangani pada 1 Januari 1979, oleh Setiausaha Agung PBB Kurt Waldheim. Susulan daripada Deklarasi Hak Kanak-kanak 1959, pengisytiharan itu bertujuan untuk menarik perhatian kepada masalah yang menjejaskan kanak-kanak di seluruh dunia, termasuk kekurangan zat makanan dan kekurangan akses kepada pendidikan. Banyak daripada usaha ini menghasilkan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak pada tahun 1989.





25 Februari 2015 | Panda

Hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan China bemula kira-kira 40 tahun lalu apabila Perdana Manteri Tun Abdul Razak Hussein telah mengirim surat kepada Perdana Menteri China, Zhou Enlai melalui Ketua Setiausaha Hubungan Diplomatik, Tan Sri Michael Chan, semasa Malaysia mengambil bahagian dalam kejohanan Ping Pong di China.

Legasi beliau telah diteruskan oleh beliau, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah melawat negara China pada bulan April 2012 dan sepasang panda gergasi telah diberikan kepada Malaysia sebagai simbol hubungan erat di antara dua negara.

Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi telah diberikan nama Malaysia iaitu Xing Xing yang bermaksud kemewahan bagi panda jantan, dan Liang Liang yang bermaksud kecantikan bagi panda betina.

Rumah panda di Zoo Negara telah siap dibina pada bulan Januari 2014, dan merangkumi kawasan pameran yang diubahsuai untuk suhu di bawah 24°c seperti habitat asal mereka di Chengdu, China. Ia lengkap dengan kawasan untuk bersenam, dek induk, makmal, bilik inkubator dan bilik pemantauan.
Kehadiran panda gergasi di bawah jagaan zoo negara dapat memanfaatkan Malaysia dengan meningkatkan pengetahuan rakyat untuk menghargai kewujudan dan kepentingan memelihara hidupan liar demi masa depan generasi akan datang.

Beberapa Fakta Mengenai Pasangan Panda Gergasi
1) Xing Xing dan Liang Liang dilahirkan di Wolong National Nature Reserve, Sichuan pada 23 Ogos 2006.
2) Mereka merupakan ikon bagi sukan olimpik di Beijing pada tahun 2008.
3) Mereka biasa mengembara dan telah menetap di beberapa tempat seperti Beijing Zoological dan Wenling Panda Centre di Zhejiang Province.
4) Rebung, epal, lobak merah dan wu wu tou (sejenis pau) telah dihid6angkan semasa penerbangan mereka dari negara China ke Malaysia.
5) Panda Gergasi Xing Xing dan Liang Liang telah menerima sijil Malaysia MySecondHome (MM2H) untuk bermastautin di Malaysia selama 10 tahun.
6) Xing Xing mempunyai dahi yang lebih luas dan hidungnya lebih lebar dan sedikit herot manakala muka Liang Liang adalah lebih bulat dan hidungnya lebih mancung dan panjang.







26 Februari 2000 | Semangat Malaysia Baru

Pada hari ini 26 Februari 2000, Pos Malaysia Berhad telah melancarkan 3 keping setem bernilai 50sen setiap satu dalam bentuk lembaran mini serta sekeping lagi lembaran mini dengan setem 50 sen. Kesemua setem tersebut bertemakan semangat Malaysia baru sempena ketibaan abad baru. Dipaparkan pada setem-setem tersebut pencapaian terhebat anak-anak Malaysia

PENDAKIAN GUNUNG EVEREST
Dua anak Malaysia, M. Magendran dan N. Mohanadas mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest menjelang tengah hari 23 Mei 1997 waktu Nepal. Tepat pukul 2.10 petang waktu Malaysia.
Mereka adalah dua daripada empat pendaki akhir dalam pasukan 10 pendaki yang ketika itu menggalas cabaran untuk menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menawan kemuncak dunia itu. Mereka adalah bahagian daripada pasukan 20 anggota dalam misi yang dinamakan Projek Malaysia-Everest ’97.
Pendakian itu bukanlah sesuatu yang mudah, dan tidak juga murah. Jalannya panjang dan berliku, penuh cabaran. Cabarannya bukan saja dalam bentuk fizikal. Cabaran yang lebih utama ialah untuk menakluk keyakinan diri.

PENJELAJAHAN KE KUTUB UTARA
Pada 19 April 1999, dua beradik, Gerald Melcolm dan Justin Maurice Read mengukir nama dalam sejarah tanah air sebagai rakyat Malaysia yang pertama ke Kutub Utara. Dengan hanya berbekalkan keazaman dan semangat waja, mereka mengharungi suhu getir 30 darjah di bawah paras beku untuk meredah salji sejauh lebih daripada 110kilometer dalam masa 11 hari.

EKSPEDISI BERPAYUNG TERJUN DI ARTIK
Setem ini memperingati ekspedisi berpayung terjun pada 21 April 1998 di Artik. Payung terjun pasukan ekspedisi Malaysia dengan kereta Proton Wira mendarat di Kutub Utara buat kali pertama.

PELAYARAN MENGELILINGI DUNIA
Selepas lebih enam bulan berhempas pulas melawan cabaran arus dan lautan luas, pelayar Datuk Azhar Mansor akhirnya mencatatkan rekod dunia untuk menjadi rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo. Tiga tahun lepas, pelayar kelahiran Kangar itu muncul dengan idea untuk mengemudi kapal layar mengelilingi dunia di laluan baru Timur-Barat-Timur tetapi amat sukar baginya mendapatkan pembiayaan sepenuhnya projek itu. Penaja ramai tetapi kurang yakin dengan kemampuannya dan setiap usaha untuk mendapatkan pembiayaan bagi projek itu telah ditolak. Tetapi Azhar tidak berputus asa dan tidak berapa lama selepas itu, cadangannya itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang begitu kagum dengan hasrat pelayar itu.

Dr Mahathir memberikan restu beliau dan bersetuju untuk menjadi penaung projek Cabaran Jalur Gemilang '99. Azhar kemudian berlepas ke Sydney, Australia pada akhir Ogos 1998 untuk menerima kapal layar bernilai RM2 juta itu dan belayar di lautan luas serta mencatatkan pelayaran lebih 5,000 batu nautika sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 25 Oktober 1998.



27 Februari 1999 | Buah-buahan Nadir

Antara buah-buahan nadir yang digemari ramai ialah salak, cerapu, binjai dan jambu bol. Salak banyak ditanam di negeri Trengganu. Cerapu terdapat hanya di beberapa buah negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Trengganu. Jambu bol taburannya lebih meluas, iaitu hampir di setiap negeri. Kesemua buah-buahan ini sedap dimakan dalam keadaan segar. Namun begitu, salak boleh diproses dan disimpan lama. Salak boleh dijeruk dan boleh dijadikan jeli dan cuka. Kesemua buah ini bermusim dan hanya boleh didapati satu atau dua kali dalam setahun.

Jambu Bol (Syzygium malaccense)
Jambu bol berasal dari Malaysia. Pokok ini biasanya ditanam di sekitar rumah sebagai teduhan dan juga untuk buahnya. Buah jambu bol kebanyakannya berasa masam-masam manis dan dimakan dalam keadaan segar. Jenis yang masam dibuat campuran rojak buah.

Pokok jambu bol sederhana atau besar, iaitu 5m – 20m tingginya. Kanopinya rendang dan padat. Daunnya lebar berbentuk bujur panjang dan tirus di pangkal. Warna daun hijau berkilat atau hijau tua. Bunga jambu bol berwarna merah cerah terdapat dalam kelompok kecil. Ciri yang menarik pada bunga ini adalah stamennya yang berwarna merah apabila jatuh ke tanah kelihatan bak hamparan.

Buah jambu bol berbentuk panjang, bujur telur atau bujur panjang, bergantung kepada jenis. Kulit buah berwarna putih bergaris merah, merah atau putih keseluruhannya. Isinya berjus, berbau harum dan masam atau masam-masam manis. Bijinya berongga dan tidak rata.

Cerapu (Garcinia Prainiana)
Cerapu adalah antara buah-buahan nadir yang menarik. Buah yang masak berwarna cerah, berjus dan dimakan dalam keadaan segar. Rasanya masam-masam manis dan menyegarkan. Buah muda sangat masam dan boleh dibuat pengganti asam untuk gulai ikan.

Biasanya pokok ini ditanam di dusun-dusun bersama-sama pokok buah-buahan yang lain dengan ketinggian 10 – 20m. Dahannya banyak tersusun rapat-rapat dan mendatar. Pokok cerapu tumbuh dengan lambat tetapi boleh hidup lama hingga berpuluh-puluh tahun. Kulit, batang dan dahan-dahannya berwarna hitam.

Daun cerapu tebal dan keras berbentuk bujur panjang atau elips. Bunga jantan dan betina dikeluarkan pada pokok yang berlainan. Buah cerapu berbentuk bulat tetapi leper sedikit di bahagian atas dan bawahnya. Buah yang masak berwarna jingga cerah, diserikan oleh sepal yang berwarna hijau, membentuk tampok. Kulit buah nipis dan mudah dikupas. Isinya jingga muda, mengandungi 5-7 ulas yang kelihatan bercantum. Satu hingga empat daripada ulas tersebut mengandungi biji yang kecil.

Binjai (Mangifera caesia)
Pokok binjai berasal dari Malaysia. Kanopinya besar mencapai 30m hingga 40m tinggi. Kulit batangnya kelabu, merekek-rekek memanjang dan kelihatan kasar. Daun binjai tebal dan keras, berbentuk bujur panjang dan tirus di pangkal. Daun-daun ini tersusun rapat secara berpusar di hujung ranting. Bunganya kecil dan berwarna ungu muda, tersusun padat pada jambak panikel yang dikeluarkan di hujung ranting.

Buah binjai jenis drup yang besar berbentuk bujur panjang dan kecil di bahagian pangkal. Warnanya kuning keperangan hingga perang pucat, berbintik-bintik perang tua dan kelihatan kasar. Terdapat banyak jenis binjai yang berbeza-beza dari segi bentuk, saiz dan warnanya. Dari segi rasa dan kualiti buah pula terdapat jenis yang masam, masam manis dan manis. Buahnya masak berjus dan berbau kuat.

Salak (Salacca glabrescens)
Salak sejenis tumbuhan palma yang tumbuh liar di hutan atau ditanam di dusun. Pokok salak hidupsubur di bawah lindungan pokok lain seperti getah. Buah salak berjus dan manis-manis kelat, kebanyakannya dimakan dalam keadaan segar walaupun buah ini boleh dijeruk dan disimpan lama.
Pokok salak rendang, mempunyai batang yang pendek dan hidup berumpun. Hampir seluruh pokok berduri tajam terutama di pangkalnya. Bunga betina dan jantan dikeluarkan pada pokok yang berlainan. Bungan jantan tersusun padat pada jambak berbentuk jari, berkelompok-kelompok pada celah pelepah daun. Bunga betina tersusun padat pada jambak yang lebih besar dan bertangkai pendek.

Buah salak berbentuk hampir bulat atau bujur. Warnanya perang muda, perang kemerahan hingga perang tua. Kulit buah bersisik-sisik leper, teratur bertindih dan rapat-rapat. Setiap buah mengandungi 1-3 ulas yang biasanya berbiji.




27 Februari 2012 | Ya Kepada Hidup, Tidak Kepada Dadah

Ubat adalah sejenis bahan kimia buatan yang digunakan untuk menyembuhkan atau mengubat seseorang dari penyakit dan jangkitan. Dadah adalah bahan haram seperti ganja, heroin, kokain, A.T.S. (amphetamine-typestimulants) dan pil khayal adalah formula kimia yang menyebabkan ketagihan dan boleh mendatangkan kematian akibat kerosakan sistem badan dan menjejaskan kewarasan fikiran.
Seiring dengan globalisasi ekonomi dunia, penyalahgunaan dadah juga telah mengalami globalisasi.

Salah guna dadah adalah masalah yang dihadapi semua negara pada masa kini dan menjadi kebimbangan dan cabaran kepada komuniti sedunia. Organisasi bukan kerajaan memainkan peranan utama dalam memerangi gejala dan penyalahgunaan dadah. ‘International Federation of Non-Government Organizations for The Prevention of Drug and Substance Abuse’ (IFNGO) terdiri daripada Organisasi Bukan Kerajaan dari seluruh dunia yang terlibat dalam aktiviti anti dadah dan pencegahan penyalahgunaan dadah. Melalui IFNGO, organisasi bukan kerajaan boleh berkongsi idea dan belajar dari pengalaman antara satu sama lain untuk mewujudkan dunia yang lebih selamat.

IFNGO telah memainkan peranan yang penting di dalam memupuk kerjasama di antara agensi bukan kerajaan dan agensi kerajaan dalam pencegahan dan rawatan penyalahgunaan dadah di seluruh dunia. IFNGO telah menunjukkan visi dan kepimpinan mengenai isu-isu tersebut melalui persidangan sedunia dwitahunan dan bengkel IFNGO ASEAN NGO’s. Pada November lepas, ulangtahun IFNGO ke-30 diraikan sempena 24th IFNGO World Conference di mana ANCD, Australia telah menjadi tuan rumah dan dianjurkan bersama dengan PEMADAM Malaysia di Kuala Lumpur, Malaysia. Objektif IFNGO adalah bekerja sama meneruskan aktiviti-aktiviti untuk mencegah penyalahgunaan dadah dalam matlamat masyarakat yang bebas dari dadah.

SETEM 60SEN (SEPASANG)
Untuk keluaran YA KEPADA HIDUP, TIDAK KEPADA DADAH ini, tiga rekabentuk setem telah dipilih untuk memaparkan suasana kehidupan yang bahagia yang dapat dihasilkan melalui kehidupan yang sihat yang mampu dicapai tanpa penyalahgunaan dadah. Rekabentuk setem 'setenant' berpasangan 60sen memaparkan suasana keluarga yang sihat dan bahagia dan reka bentuk pasangan setem tersebut pula memaparkan suasana kehidupan yang sihat di kalangan remaja dan rakan-rakan. Ini adalah kerana cara hidup yang sihat bermula dari rumah, iaitu dari masa seseorang itu masih muETEda, keluarga memainkan peranan permulaan yang penting untuk membentuk seseorang. Kemudian apabila seseorang itu melalui alam remaja, rakan-rakannya memainkan peranan yang penting.

SETEM RM1
Setem RM1 pula memaparkan peringkat seterusnya, iaitu suasana cara hidup yang sihat di golongan profesional ataupun alam dewasa. Pendek kata, cara hidup yang sihat dari permulaan hingga ke akhir hayat dengan memilih YA KEPADA HIDUP, TIDAK KEPADA DADAH akan menjamin masa depan yang cerah dan sihat kepada semua.




27 Februari 2018 | Sungai Terpanjang di Malaysia

Pada hari ini 27 Februari 2018, Pos Malaysia Berhad telah mengeluarkan siri setem pertama bertemakan tiga sungai terpanjang di Malaysia. Ketiga-tiga sungai terpanjang itu adalah Sungai Rajang di Sarawak, Sungai Kinabatangan, Sabah dan Sungai Pahang, Pahang.

Ketiga-tiga sungai yang pertama kali diketengahkan dalam siri setem itu, Sungai Rajang adalah sungai terpanjang di negara ini dengan jarak 563 km dan ia terpilih sebagai lembaran mini terpanjang yang pernah dihasilkan Pos Malaysia.

Terdapat hanya 200,000 keping bagi setiap reka bentuk, 28,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (SSHP), 25,000 keping Lembaran Mini dan 2,000 keping folder.

Dalam siri ini, setem yang ditampilkan memaparkan ilustrasi pandangan atas bawah sungai-sungai kedua dan ketiga terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Kinabatangan (560km) dan Sungai Pahang (459km). Kedua-duanya bernilai 80 sen dan 60 sen.

Sungai terpanjang antara ketiga-tiga sungai ini, Sungai Rajang akan dikeluarkan dalam bentuk Lembaran Mini yang juga merupakan Lembaran Mini terpanjang yang pernah dihasilkan.

Produk lain filateli seperti sampul surat hari pertama dengan brosur percuma dijual dengan harga 55 sen setiap satu manakala set lengkap siri tersebut berharga RM40.70.





Friday, March 11, 2022

28 Februari 2011 | Piala Suzuki AFF

Permainan bolasepak terkenal sebagai permainan kegemaran di seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Pasukan bola sepak Malaysia telah memenangi banyak perlawanan antarabangsa dan yang terbaru adalah AFF Suzuki Cup 2010.

AFF Cup 2010 yang berlangsung pada 1 hingga 29 Disember 2010 telah ditaja oleh Suzuki dan diberi nama rsmi AFF Suzuki Cup 2010. Indonesia dan Vietnam menjadi tuan rumah untuk pusingan permulaan dari 1 hingga 7 Disember untuk kumpulan A dan 2 hingga 8 Disember untuk kumpulan B. Pusingan separuh akhir berlangsung di Malaysia dan di negara lawan dengan liga pertama pada 18 dan 19 Disember 2010. Perlawanan akhir berlangsung untuk dua pusingan pada 26 Disember 2010 dan 29 Disember 2010.

Dalam pusingan akhir pertama pada 26 Disember 2010 di Stadium Merdeka Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malaysia menewaskan Indonesia 3-0. Manakala dalam perlawanan pusingan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia, Malaysia tewas 2-1 tetapi disebabkan 3 gol lebih masa liga pertama yang diperolehi di Kuala Lumpur, Malaysia telah menewaskan Indonesia 4-2 untuk memenangi AFF Suzuki Cup 2010, iaitu perlawanan premier Asia Tenggara pada 29 Disember 2010 dan telah diisytiharkan Juara AFF Suzuki Cup 2010.

Pada hari ini, 28 Februari 2011, Pos Malaysia berhad telah mengeluarkan 2 keping setem sempena kejayaan dalam AFF Suzuki 2010.




28 Februari 2008 | Jambatan-Jambatan di Malaysia

Jambatan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi di Malaysia. Selain menghubungkan antara pekan dan bandar, ia juga membuka laluan bagi pengangkutan untuk penduduk dan barang dagangan. Ia juga sangat penting dalam perkembangan industri seperti perlombongan dan getah.

Siri ini menampilkan jambatan inovatif yang dibina sehingga kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957. Antara jambatan pertama yang dibina dengan kejuruteraan moden ketika itu adalah Jambatan Victoria di Karai, Perak. Jambatan ini dibina pada tahun 1897, dan merupakan jambatan tertua di Tanah Melayu. Jambatan kota yang unik dengan binaan dua tingkat telah dibina pada tahun 1958 untuk menghubungkan Bandar Kelang setelah Jambatan Brickfields yang dibina pada tahun 1907, musnah pada tahun 1941 dalam Perang Dunia Kedua. Manakala jambatan Merdeka yang menyeberangi Sungai Muda, atau sungai terpanjang di Negeri Kedah dibina pada tahun 1955 dan dibuka secara rasmi pada 1957, iaitu tahun Malaysia mencapai kemerekaan.

Kesemua jambatan ini dipaparkan di dalam setem bernilai 50sen dan 30sen, manakala setem RM1 pula menampilkan Jambatan Sungai Segamat yang dibina pada tahun 1933.







28 Februari 1976 | Pertabalan Yang Dipertuan Agong 1976

Pada hari ini dalam tahun 1976, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Kelantan telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Keenam. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan penuh warna-warni ini telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Dewan Tuanku Abdul Rahman mengikut adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu. lanya telah disaksikan oleh Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Tuan-Tuan Yang Dipertua, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn, Bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj, para menteri kabinet, ketua-ketua diplomat asing, 612 orang-orang kenamaan dan Jemaah hakim.

Semasa keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda telah memeriksa perbarisan kehormatan yang terdiri daripada 108 orang pegawai dan anggota Batalion Ke-9 Askar Melayu Diraja. Dengan pakaian rasmi pertabalan warna hitam, Baginda dan DYMM Raja Permaisuri Agong diiringi masuk hingga ke singgahsana persemayaman yang terletak di pentas tujuh tingkat berwarna kuning. Sebelum ikrar dilafazkan, dengan penuh tawadhuk Baginda mengucup keris panjang Diraja. Sebaik-baik sahaja Baginda melafazkan ikrar, lagu 'Raja Bertabal' dipalu diikuti dengan teriakkan 3 kali 'Daulat Tuanku' dan bedilan meriam 21 das.

DYMM Tuanku Yahya Petra ibni AI-marhum Sultan Ibrahim telah diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan pada Disember 1917. Pada Februari 1948 Seri Paduka Baginda telah dilantik dan diisytiharkan menjadi bakal Raja Kelantan dengan gelaran "Tengku Mahkota Kelantan". Baginda kemudiannya telah dimasyhurkan menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul-Naim pada 17 Julai 1961, setelah kemangkatan Seri Paduka Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Ibrahim. Baginda telah dipilih oleh Persidangan Majlis Raja-Raja menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 22 Julai, 1970 dan istiadat mengangkat sumpah bagi perlantikan ini berlangsung pada 21 September 1970. 

Istiadat pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijalankan pada hari ini dalam tahun 1976 telah diiringi oleh Kumpulan Nobat DiRaja dari Alor Setar, Kedah. Dengan perlantikan Baginda sebagai Yang Dipertuan Agong juga menjadikan Baginda Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.







3 Mac 2003 | Bapa Kemerdekaan (100 Tahun Lahir Tunku Abdul Rahman)

Pada 8 Februari 1903, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Star, Kedah. Walaupun dibesarkan dalam kehidupan yang serba mewah, putera raja ini lebih gemar bergaul bersama kanak-kanak desa. Jiwanya sentiasa bersama rakyat dan kasihnya yang mendalam terhadap negara dan rakyat menjadi pendorong utama dalam usaha beliau ke arah pencapaian kemerdekaan Malaysia.

Beliau mendapat pendidikan awal di Kedah dan Pulau Pinang dan menyambung pelajaran ke England di Cambridge University di dalam bidang undang-undang. Beliau memasuki perkhidmatan awam di Pejabat Penasihat Undang-undang Alor Star dan seterusnya sebagai Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah di beberapa kawasan di Kedah.

Kerjaya beliau dalam bidang perkhidmatan awam menjadi landasan untuk memasuki bidang politik. Kejayaan beliau di pelbagai bahagian perkhidmatan awam memberi keyakinan kepada orang awam untuk memilih beliau sebagai pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Kedah. Setelah Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar meletakkan jawatan sebagai Yang diPertua Umno pada tahun 1951, Almarhum Tunku Abdul Rahman dipilih sebagai penggantinya.

Tidak boleh dinafikan bahawa pencapaian terbesar Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah pencapaian kemerdekaan bagi Malaya. Turunnya bendera Union Jack, digantikan dengan bendera Tanah Melayu pada tengah malam 30 Ogos 1957 adalah detik paling penting dalam sejarah Malaysia dan merupakan bukti paling nyata kasih dan visi beliau untuk negara tercinta. Inilah warisan kebanggaaan yang ditinggalkan oleh seorang raja yang berjiwa rakyat.




                                                    



3 Mac 2018 | 100 Tahun SMJKC Yu Hua, Kajang

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua atau nama ringkasnya SMJK Yu Hua, merupakan sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan yang terletak di Jalan Low Ti Kok, Kajang, Selangor, Malaysia.
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua memiliki > 3000 jumlah keseluruhan murid. Ia mempunyai seramai 183 orang guru. (Statistik 2020)