Saturday, April 16, 2022

21 Februari 2017 | Tumbuhan Berbunga Yang Unik

Bunga orkid terkenal kerana kecantikannya dan ia tergolong dalam keluarga terbesar bagi tumbuhan bebunga. Terdapat lebih dari 3,000 jenis orkid liar yang tumbuh di serata hutan gunung dan lembah di Malaysia. Hujan yang turun sepanjang tahun merupakan salah satu faktor yang menggalakkan pertumbuhan yang subur untuk orkid. Orkid merupakan sejenis epiphytes yang hidup dengan bergantung kepada pokok lain untuk sokongan, tanpa merosakkan pokok tersebut. Terdapat juga spesies orkid dari jenis terrestial atau darat, yang boleh tumbuh di atas tanah, tanpa memerlukan sokongan daripada pokok lain.

Orkid Hibrid
Orkid Hibrid dihasilkan melalui proses cantuman daripada beberapa spesies yang berbeza, yang menghasilkan bunga dengan rupa dan warna yang amat menarik dan luarbiasa. Orkid hibrid juga mempunyai daya tahan yang lebih tinggi dan mampu hidup dalam persekitaran bandar. Penggemar orkid di Malaysia membiakkan orkid hibrid sejak awal kurun kedua puluh lagi. Orkid hibrid amat popular kerana ia menghasilkan bentuk bunga yang pelbagai dan ia juga membesar dengan lebih pantas. Selain itu, orkid hibrid lebih mudah untuk dibiakkan menggunaakan benih atau meristem. Kini penghasilan. Orkid hibrid menjadi satu industri yang pesat di Malaysia.

Setem 60sen
Rhynchostylis retusa mempunyai jambak yang melendut dengan bunga yang banyak berwarna putih dan merah jambu. Rantingnya berbentuk kon dan mempunyai salutan di bahagian bawah. Daunya pula keras, berwarna hijau pekat, berbentuk bujur dan melengkung ke bawah. Ia tumbuh di kawasan yang lembab dan teduh tetapi cerah dan tidak terkena cahaya matahari secara langsung. Bunganya berbau seperti rempah. Rhynchostylis juga dikenali sebagai foxtail orchid.


Setem 70sen
Phalaenopsis violacea terdiri daripada dua spesies, dan sering dijumpai di dahan pokok yang teduh dan terlindung. Spesies Malayan mempunyai bunga berbentuk bintang dengan daun yang panjang, manakala spesies Bornean pula mempunyai bunga yang lebih besar dan bulat, dengan daun yang juga bulat. Bunga daripada spesies ini kebiasaannya berwarna ungu, akan berbunga dalam masa beberapa bulan dan akan kekal berbunga bagi tempoh yang panjang.


Setem 80sen
Vanda Helvola merupakan sejenis orkid epiphyte liar yang tumbuh di hutan, di atas pokok yang berhampiran dengan sungai. Ia mempunyai tangkai yang kuat, dengan daun yang lembut, liat, licin dan berkilat. Orkid dari Hibrid Vanda amat popular di kalangan penggemar orkid kerana ia mempunyai warna-warna yang pelbagai serta ketahanan bunganya. Ia juga sesuai untuk ditanam di dalam rumah.


Setem 90sen
Paphiopedilum Iowii biasanya tumbuh di atas tanah, dan sering dipanggil ‘lady’s slipper orchid’ atau ‘orkid selipar wanita’ kerana bentuknya yang seperti kantung. Ia biasanya bersaiz kecil atau sederhana, dengan kelompok-kelompok daun berbentuk kipas. Bunganya mempunyai pelbagai warna. Beberapa tumbuhan daripada hibrid ini mampu berbunga dua kali setahun. Paphiopedilum Iowii dinamakan sempena Hugh Low, yang menemui orkid ini semasa ekspedisinya ke Gunung Kinabalu, Sabah.


Setem RM1
Orkid dari spesies Arachnis fios-aeris adalah sejenis epiphyte memanjat, dan ia juga sering dipanggil orkid kala jengking. Ia mempunyai tangkai yang melengkung ke bawah dengan jambakan bunga yang berjarak di hujungnya. Ia mempunyai bau yang harum seperti kasturi. Apabila dikacuk dengan spesies yang lain seperti vanda, ia menghasilkan hibrid kacukan yang dipanggil Aranda. Spesies aranda memiliki ciri-ciri terbaik dari spesies kacukannya seperti bentuk bunga dan warna yang menarik dari Vanda, dan tumbesaran yang pantas dari Arachnis.


Setem RM1.10
Papilionanthe hookeriana yang juga dipanggil rumpai Kinta adalah sejenis orkid yang mempunyai tangkai yang panjang, dan selalunya dijumpai tumbuh di kawasan hutan luruh berpaya. Orkid dari spesies ini hidup dalam bakul yang bergantung pada dahan pokok yang kering dengan kulit yang menggerutu. Ia memerlukan cahaya matahari yang banyak serta kelembapan yang tinggi untuk berbunga. Hibrid dari jenis Papilionanda adalah antara yang paling mudah untuk hidup di kawasan tropika, dan tidak mmerlukan penjagaan yang rapi.

No comments:

Post a Comment