Saturday, March 19, 2022

21 Februari 2011 | Pelancongan Tanah Tinggi

Malaysia terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana mempunyai pelbagai jenis tarikan yang unik bagi pelancong termasuk pulau-pulau yang indah, tempat bersejarah, flora dan fauna yang menarik lagi unik dan juga tanah-tanah tinggi yang nyaman dan antara yang paling cantik di dunia.

Malaysia mempunyai cuaca panas tropika dan lembab sepanjang tahun, dengan suhu purata di antara 20°C ke 30°C. Dengan itu tanah tinggi merupakan destinasi percutian yang terbaik dan popular, bukan sahaja untuk para pelancong, tetapi juga untuk rakyat tempatan yang ingin melarikan diri dari kepanasan dan kesibukan kota.

Tanah tinggi Malaysia yang sejuk bukan sahaja dapat memberikan kelainan dari cuaca panas di tanah rendah, tetapi juga keadaan sekeliling semulajadi yang cantik dan yang lain dari kehidupan harian. Ia adalah destinasi pelancongan yang sesuai untuk berehat dengan aman dan untuk menikmati udara segar dan dingin dari gunung yang menghijau, memerhati burung, melawat taman-taman, menghayati flora dan fauna tanah tinggi yang dipelihara dengan baik dan penduduk asli di setiap tanah tinggi tersebut. 

Terdapat beberapa tanah tinggi di Malaysia yang menjadi tarikan pelancong di seluruh dunia.

Bukit Bendera yang terletak 6km dari George Town merupakan satu destinasi pelancongan yang popular di Pulau Pinang. Bukit Bendera merupakan sebuah kompleks bukit-bukau dan susur bukit, di mana puncak tertinggi adalah Western Hill iaitu lebih kurang 830meter dari aras laut. Selain cuaca yang dingin dan pemandangan George Town, Tanjung Bungah dan tanah daratan yang cantik dari puncak bukit, pelancong juga dapat menghayati pemandangan rumah zaman kolonial, taman bunga, taman burung dan juga monyet dari spesies Macaque. Sebahagian dari flora dan fauna di Bukit Bendera adalah spesies menjalar dan nadir di mana kewujudannya adalah terancam. Pelancong boleh memilih untuk menaiki keretapi menerusi Penang Hill Railway ataupun berjalan kaki sepanjang 5.1km untuk mendaki Bukit Bendera.

Cameron Highlands adalah antara tempat pelancongan tanah tinggi yang paling popular di Malaysia. Terletak lebih kurang 1,800meter dari aras laut di Pahang. Ia sangat terkenal dengan cuacanya yang dingin dan tanahnya yang subur. Antara tarikan di Cameron Highlands termasuk kebun teh, kebun sayur-sayuran, kebun strawberry, taman bunga ros, lembah kaktus, air terjun, flora dan fauna yang unik, puncak bukit yang tinggi, gaung yang dalam, hutan yang menghijau, tasik yang tenang, anak sungai yang berliku-liku, rumah rehat, tempat beribadah, dan tidak ketinggalan orang-orang asli yang begitu istimewa.

Gunung Mat Cincang pula adalah gunung yang kedua tinggi di Pulau Langkawi, Kedah. Walaupun ia cuma lebih kurang 710meter tinggi, kemudahan kereta kabel, kompleks membeli belah dan jambatan gantung menjadikannya satu destinasi popular bagi pelancong. Kereta kabel Langkawi menjadi tarikan semua pelancong kerana ia menghubungkan Burau Bay Resort di Teluk Burau ke Gunung Mat Cincang dari udara, di mana terletaknya jambatan gantung Langkawi. Perjalanan naik ke puncak Gunung Mat Cincang amat mengkagumkan dengan pemandangan hijau yang subur kabur perlahan-lahan apabila semakin tinggi dan jika berjalan kaki di atas jambatan gantung setinggi 700meter tersebut, kelihatan pemandangan menakjubkan pulau-pulau di bawah sehingga ke negara Thailand.

Kundasang merupakan sebuah kampung di Sabah, Borneo yang terletak di tebing Lembah Kundasang, lebih kurang 6km dari Taman Negara Kinabalu. Ia terkenal dengan pasar sayur-sayuran yang dibuka tujuh hari seminggu dan juga pemandangan Gunung Kinabalu yang indah. Terdapat banyak kebun di tebing bukit yang menanam sayur-sayuran seperti kobis, tomato, lobak merah, daun salad, jagung, kobis bunga, bayam, pokok hiasan, bunga dan juga buah-buahan kegemaran tempatan seperti rambutan, mangga, durian boleh dibeli dengan harga yang berpatutan. Ikon utama pekan ini adalah sebiji sayur kobis yang besar yang melambangkan hasil utama tanah tinggi ini.





No comments:

Post a Comment