Saturday, March 19, 2022

23 Februari 2010 | Haiwan Terancam

Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) yang juga dikenali sebagai Harimau Belang, cuma boleh didapati di Semenanjung Malaysia dan merupakan subspesies harimau yang terkecil berbanding dengan subspesies harimau yang lain. Belangnya adalah menyerupai Harimau Indochina tetapi saiznya adalah lebih kurang Harimau Sumatera, dengan berat purata 120 kg untuk harimau jantan dewasa dan 100 kg untuk harimau betina. Harimau jantan berukuran lebih kurang 237 cm panjang dari kepala hingga ke ekor, manakala harimau betina berukuran lebih kurang 200sm panjang. Harimau Malaya boleh dijumpai di kawasan tanah rendah di hutan hujan di Semenanjung Malaysia dan memburu mangsa seperti rusa, babi hutan dan binatang ternakan.

Harimau Korea (Panthera tigris altaica) juga dikenali sebagai Harimau Siberia, Amur, Manchuria dan China Utara dan merupakan subspesies yang terbesar berbanding dengan subspesies harimau yang lain. Kajian yang dibuat pada tahun 2009 juga mendedahkan bahawa jumlah subspesies harimau Siberia kini sama dengan harimau Caspian yang kini telah pun pupus. Harimau Korea boleh mencapai 4m panjang, termasuk ekornya dengan berat sehingga 290 kg. Bulu Harimau Korea juga lebih tebal dan kasar berbanding dengan yang lain. Walau bagaimanapun, pada musim sejuk, bulunya adalah lebih padat, panjang dan lembut. Harimau Korea terdapat di kawasan gunung yang rendah. Makanan utama Harimau Korea adalah babi hutan, rusa dan juga makan binatang yang lebih kecil seperti arnab dan ikan.

Kini harimau merupakan haiwan terancam. Sukan memburu haiwan tidak lagi menjadi ancaman utama kepupusan harimau, tetapi zaman ini, ancaman utama harimau adalah kehilangan habitat, kekurangan haiwan untuk diburu untuk dijadikan makanan seperti rusa yang diburu oleh manusia untuk dagingnya. Tulang harimau juga digunakan sebagai ubat tradisional Cina untuk mengubati berbagai penyakit manakala daging harimau juga merupakan satu hidangan eksotik di restoran tertentu. Bahagian lain dari badan harimau seperti kuku, taring dan kulit juga dicari untuk dijadikan piala hasil dari buruan, untuk ilmu sihir dan sebagai bahan hiasan. Tiga dari sembilan sub-spesies harimau di dunia kini telah pupus, iaitu Harimau Caspian, Javan dan Balinese. Harimau Malaya dan Harimau Korea juga semakin berkurangan disebabkan ancaman utama iaitu manusia.

Dengan keluaran setem ini bersama Post Korea sempena menyambut 50 tahun Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Korea, adalah diharapkan agar ianya memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai dan mengambil langkah yang wajar bagi memastikan harimau tidak akan pupus dan dapat terus hidup di hutan untuk generasi akan datang.


No comments:

Post a Comment