Friday, March 11, 2022

18 Disember 1999 | Ulangtahun ke-125 UPU

Asal usul perkhidmatann pos lenyap dalam kabut masa. Namun, kesan-kesan peninggalan sistem komunikasi kuno telah ditemui di China, Parsi, Mesir, Greek dan Empayar Rom seperti perhubungan dari mulut ke mulut ataupun penulisan dan penggunaan khidmat penghantar bergilir serta kuda yang mempunyai stesen di sepanjang jalan. Perkhidmatan Pos sedemikian dimonopoli oleh golongan di raja. 

Bagaimanapun, golongan ini kemudiannya memiliki sistem utusan khas mereka sendiri.
Perkembangan dalam kehidupan sosial memberi ruang kepada orang-orang persendirian berhubung antara satu sama lain menerusi khidmat utusan di raja dan putera-putera. Organisasi perhubungan asas yang sebahagian rasmi dan sebahagian lagi persendirian ini kekal sehingga akhir zaman pertengahan. Perkembangan perkhidmatan pos tidak dapat dibendung, apatah lagi dengan wujud kepesatan dunia percetakan dan kemajuan dunia komunikasi baru. Pihak pentadbiran mula menyedari hakikat bahawa keformalan perlulah diseragam dan dikurangkan jika ingin melihat komunikasi antarabangsa bergerak seiring dengan kepesatan sistem pengangkutan.

Great Britain telah mengambil langkah pertama ke arah perubahan tersebut dalam tahun 1840. Atas cadangan Rowland Hill, kadar bayaran untuk surat bagi perkhidmatan dalaman telah dikurangkan kepada 1 penny (bayaran pos penny); pembaharuan tersebut telah membawa kepada pengenalan setem pos.

Satu konvensyen telah diadakan pada tahun 1862 di Perancis hasil inisiatif Ketua Pejabat Pos Amerika Syarikat yang bertujuan untuk meneruskan proses reformasi pos di peringkat antarabangsa. Terdapatnya kesedaran tentang keepentingan pertubuhan pos antarabangsa serta saranan daripada Heinrich Von Stephan, seorang pegawai kanan pos dari Kesatuan Jerman Utara, maka Kerajaan Switzerland telah mengadakan satu persidangan di Berne pada 15 September 1874 dengandihadiri oleh 22 buah negara. Pertubuhan Pos Am kemudiannya diasaskan menerusi Perjanjian Berne pada 9 Oktober yang pada hari ini diperingati sebagai Hari Pos Dunia. Namun begitu, nama tersebut telah diubah kepada Pertubuhan Pos Sedunia dalam tahun 1878 sejajar dengan pertambahan keahliannya. Kewujudan pertubuhan ini membolehkan perkhidmatan dan undang-undang pos antarabangsa yang kompleks diletakkan di bawah satu bidang kuasa pos bagi menyeragamkan lagi penghantaran surat dan barangan pos. Pertubuhan ini juga berjaya memperkenalkan kadar bayaran seragam di kalangan 22 buah negara anggota. Di bawah satu bidang kuasa juga, prinsip kebebasan penghantaran barangan pos bersurat dijamin oleh semua pihak. Halangan yang menyekat penghantaran terus dan peningkatan surat di peringkat antarabangsa akhirnya dapat diatasi.

Malaysia telah menjadi anggota Pertubuhan Pos Sedunia (UPU) sejak 17 Januari 1958.
Pada hari ini 18 Disember 1999 Pos Malaysia telah mengeluarkan 4 keping setem sebagai rakaman ulangtahun ke- 125 UPU.








No comments:

Post a Comment