Friday, March 11, 2022

4 Mac 1999 | Pertabalan DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Terengganu

Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Tuanku Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada 22 Januari 1962 di bandar Kuala Terengganu.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Trengganu. Kemudian Baginda telah berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar di Melbourne, Australia. Pada tahun 1988, Duli Yang Maha Mulia menamatkan pengajian di Universiti U.S. International University-Europe di London dan mendapat ijazah dalam bidang Bachelors of Arts Degree in International Relations pada 9 Jun 1988.

Duli Yang Maha Mulia telah mengikuti kursus tentera PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages mulai 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983. Baginda seterus mengikuti kursus tentera SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhust, England mulai 3 Mei 1983 dan menamatkan kursus pegawai kadet pada 9 Disember 1983. Duli Yang Mulia telah ditauliahkan ke pangkat Leftenan Kehormat pada 1 Mac 1984 dan berkhidmat di dalam Kor Kavalri DiRaja.

Duli Yang Mulia telah dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda bagi Negeri Trengganu pada November 1979. Duli Yang Mulia telah dilantik menjadi Pemangku Sultan Trengganu bagi kali pertama pada 20 Oktober 1990 hingga 8 November 1990.

Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah pada 15 September 1981. Duli Yang Maha Mulia sempat berkhidmat selama setahun di Pejabat Tanah Daerah Kuala Trengganu sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus tentera di England. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 dan ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Trengganu. Selain bertugas di UPEN, Duli Yang Maha Mulia juga bertugas di Pejabat Tanah Daerah Kuala Trengganu sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Trengganu mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.

Duli Yang Maha Mulia telah berkahwin dengan Yang Amat Berbahagia Cik Puan Seri Rozita pada 28 Mac 1996 di Kuala Trengganu. Baginda dikurniakan seorang puteri dan seorang putera. Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah diputerakan pada 18 Disember 1996 dan Yang Amat Mulia Tengku Amat Mulia Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998.

Dengan kehendak Allah yang Maha Kuasa pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419, Duli Yang Maha Mulia telah dimasyhurkan sebagai Sultan yang memerintah bagi Negeri Trengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya.

Duli Yang Maha Mulia telah dianugerahkan dengan bintang kebesaran Darjah Utama Kerabat Trengganu (D.K.T.) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Trengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (D.K.T.) pada 9 Mac 1981. Bintang-bintang Darjah kebesaran lain dianugerahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan ialah Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Trengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T) pada 12 Februari 1989, Darjah Seri Paduka Mahkota Trengganu Yang Amat Dihormati (S.P.M.T) pada 6 Mac 1982, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putra Jamalulail (D.K.) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (D.K.) dan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) pada 8 April 1986.

Kegemaran Duli Yang Maha Mulia adalah bermain golf, bola sepak dan scuba diving.

KETERANGAN SETEM
Setem 30sen memaparkan potret DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin. Latar belakangnya merupakan Istana Maziah.

Setem 50sen memaparkan DYMM Sultan Trengganu ke-16. Latar belakangnya Istana Maziah 1903.
Setem RM1.00 merupakan potret DYMM Sultan Trengganu. Latar belakangnya merupakan Masjid Tengku Tengah Zaharah.



No comments:

Post a Comment