Saturday, March 19, 2022

26 Februari 2000 | Semangat Malaysia Baru

Pada hari ini 26 Februari 2000, Pos Malaysia Berhad telah melancarkan 3 keping setem bernilai 50sen setiap satu dalam bentuk lembaran mini serta sekeping lagi lembaran mini dengan setem 50 sen. Kesemua setem tersebut bertemakan semangat Malaysia baru sempena ketibaan abad baru. Dipaparkan pada setem-setem tersebut pencapaian terhebat anak-anak Malaysia

PENDAKIAN GUNUNG EVEREST
Dua anak Malaysia, M. Magendran dan N. Mohanadas mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest menjelang tengah hari 23 Mei 1997 waktu Nepal. Tepat pukul 2.10 petang waktu Malaysia.
Mereka adalah dua daripada empat pendaki akhir dalam pasukan 10 pendaki yang ketika itu menggalas cabaran untuk menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menawan kemuncak dunia itu. Mereka adalah bahagian daripada pasukan 20 anggota dalam misi yang dinamakan Projek Malaysia-Everest ’97.
Pendakian itu bukanlah sesuatu yang mudah, dan tidak juga murah. Jalannya panjang dan berliku, penuh cabaran. Cabarannya bukan saja dalam bentuk fizikal. Cabaran yang lebih utama ialah untuk menakluk keyakinan diri.

PENJELAJAHAN KE KUTUB UTARA
Pada 19 April 1999, dua beradik, Gerald Melcolm dan Justin Maurice Read mengukir nama dalam sejarah tanah air sebagai rakyat Malaysia yang pertama ke Kutub Utara. Dengan hanya berbekalkan keazaman dan semangat waja, mereka mengharungi suhu getir 30 darjah di bawah paras beku untuk meredah salji sejauh lebih daripada 110kilometer dalam masa 11 hari.

EKSPEDISI BERPAYUNG TERJUN DI ARTIK
Setem ini memperingati ekspedisi berpayung terjun pada 21 April 1998 di Artik. Payung terjun pasukan ekspedisi Malaysia dengan kereta Proton Wira mendarat di Kutub Utara buat kali pertama.

PELAYARAN MENGELILINGI DUNIA
Selepas lebih enam bulan berhempas pulas melawan cabaran arus dan lautan luas, pelayar Datuk Azhar Mansor akhirnya mencatatkan rekod dunia untuk menjadi rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo. Tiga tahun lepas, pelayar kelahiran Kangar itu muncul dengan idea untuk mengemudi kapal layar mengelilingi dunia di laluan baru Timur-Barat-Timur tetapi amat sukar baginya mendapatkan pembiayaan sepenuhnya projek itu. Penaja ramai tetapi kurang yakin dengan kemampuannya dan setiap usaha untuk mendapatkan pembiayaan bagi projek itu telah ditolak. Tetapi Azhar tidak berputus asa dan tidak berapa lama selepas itu, cadangannya itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang begitu kagum dengan hasrat pelayar itu.

Dr Mahathir memberikan restu beliau dan bersetuju untuk menjadi penaung projek Cabaran Jalur Gemilang '99. Azhar kemudian berlepas ke Sydney, Australia pada akhir Ogos 1998 untuk menerima kapal layar bernilai RM2 juta itu dan belayar di lautan luas serta mencatatkan pelayaran lebih 5,000 batu nautika sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 25 Oktober 1998.



No comments:

Post a Comment