Saturday, March 19, 2022

27 Februari 1999 | Buah-buahan Nadir

Antara buah-buahan nadir yang digemari ramai ialah salak, cerapu, binjai dan jambu bol. Salak banyak ditanam di negeri Trengganu. Cerapu terdapat hanya di beberapa buah negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Trengganu. Jambu bol taburannya lebih meluas, iaitu hampir di setiap negeri. Kesemua buah-buahan ini sedap dimakan dalam keadaan segar. Namun begitu, salak boleh diproses dan disimpan lama. Salak boleh dijeruk dan boleh dijadikan jeli dan cuka. Kesemua buah ini bermusim dan hanya boleh didapati satu atau dua kali dalam setahun.

Jambu Bol (Syzygium malaccense)
Jambu bol berasal dari Malaysia. Pokok ini biasanya ditanam di sekitar rumah sebagai teduhan dan juga untuk buahnya. Buah jambu bol kebanyakannya berasa masam-masam manis dan dimakan dalam keadaan segar. Jenis yang masam dibuat campuran rojak buah.

Pokok jambu bol sederhana atau besar, iaitu 5m – 20m tingginya. Kanopinya rendang dan padat. Daunnya lebar berbentuk bujur panjang dan tirus di pangkal. Warna daun hijau berkilat atau hijau tua. Bunga jambu bol berwarna merah cerah terdapat dalam kelompok kecil. Ciri yang menarik pada bunga ini adalah stamennya yang berwarna merah apabila jatuh ke tanah kelihatan bak hamparan.

Buah jambu bol berbentuk panjang, bujur telur atau bujur panjang, bergantung kepada jenis. Kulit buah berwarna putih bergaris merah, merah atau putih keseluruhannya. Isinya berjus, berbau harum dan masam atau masam-masam manis. Bijinya berongga dan tidak rata.

Cerapu (Garcinia Prainiana)
Cerapu adalah antara buah-buahan nadir yang menarik. Buah yang masak berwarna cerah, berjus dan dimakan dalam keadaan segar. Rasanya masam-masam manis dan menyegarkan. Buah muda sangat masam dan boleh dibuat pengganti asam untuk gulai ikan.

Biasanya pokok ini ditanam di dusun-dusun bersama-sama pokok buah-buahan yang lain dengan ketinggian 10 – 20m. Dahannya banyak tersusun rapat-rapat dan mendatar. Pokok cerapu tumbuh dengan lambat tetapi boleh hidup lama hingga berpuluh-puluh tahun. Kulit, batang dan dahan-dahannya berwarna hitam.

Daun cerapu tebal dan keras berbentuk bujur panjang atau elips. Bunga jantan dan betina dikeluarkan pada pokok yang berlainan. Buah cerapu berbentuk bulat tetapi leper sedikit di bahagian atas dan bawahnya. Buah yang masak berwarna jingga cerah, diserikan oleh sepal yang berwarna hijau, membentuk tampok. Kulit buah nipis dan mudah dikupas. Isinya jingga muda, mengandungi 5-7 ulas yang kelihatan bercantum. Satu hingga empat daripada ulas tersebut mengandungi biji yang kecil.

Binjai (Mangifera caesia)
Pokok binjai berasal dari Malaysia. Kanopinya besar mencapai 30m hingga 40m tinggi. Kulit batangnya kelabu, merekek-rekek memanjang dan kelihatan kasar. Daun binjai tebal dan keras, berbentuk bujur panjang dan tirus di pangkal. Daun-daun ini tersusun rapat secara berpusar di hujung ranting. Bunganya kecil dan berwarna ungu muda, tersusun padat pada jambak panikel yang dikeluarkan di hujung ranting.

Buah binjai jenis drup yang besar berbentuk bujur panjang dan kecil di bahagian pangkal. Warnanya kuning keperangan hingga perang pucat, berbintik-bintik perang tua dan kelihatan kasar. Terdapat banyak jenis binjai yang berbeza-beza dari segi bentuk, saiz dan warnanya. Dari segi rasa dan kualiti buah pula terdapat jenis yang masam, masam manis dan manis. Buahnya masak berjus dan berbau kuat.

Salak (Salacca glabrescens)
Salak sejenis tumbuhan palma yang tumbuh liar di hutan atau ditanam di dusun. Pokok salak hidupsubur di bawah lindungan pokok lain seperti getah. Buah salak berjus dan manis-manis kelat, kebanyakannya dimakan dalam keadaan segar walaupun buah ini boleh dijeruk dan disimpan lama.
Pokok salak rendang, mempunyai batang yang pendek dan hidup berumpun. Hampir seluruh pokok berduri tajam terutama di pangkalnya. Bunga betina dan jantan dikeluarkan pada pokok yang berlainan. Bungan jantan tersusun padat pada jambak berbentuk jari, berkelompok-kelompok pada celah pelepah daun. Bunga betina tersusun padat pada jambak yang lebih besar dan bertangkai pendek.

Buah salak berbentuk hampir bulat atau bujur. Warnanya perang muda, perang kemerahan hingga perang tua. Kulit buah bersisik-sisik leper, teratur bertindih dan rapat-rapat. Setiap buah mengandungi 1-3 ulas yang biasanya berbiji.




No comments:

Post a Comment