Friday, March 11, 2022

28 Februari 1976 | Pertabalan Yang Dipertuan Agong 1976

Pada hari ini dalam tahun 1976, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Kelantan telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Keenam. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan penuh warna-warni ini telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Dewan Tuanku Abdul Rahman mengikut adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu. lanya telah disaksikan oleh Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Tuan-Tuan Yang Dipertua, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn, Bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj, para menteri kabinet, ketua-ketua diplomat asing, 612 orang-orang kenamaan dan Jemaah hakim.

Semasa keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda telah memeriksa perbarisan kehormatan yang terdiri daripada 108 orang pegawai dan anggota Batalion Ke-9 Askar Melayu Diraja. Dengan pakaian rasmi pertabalan warna hitam, Baginda dan DYMM Raja Permaisuri Agong diiringi masuk hingga ke singgahsana persemayaman yang terletak di pentas tujuh tingkat berwarna kuning. Sebelum ikrar dilafazkan, dengan penuh tawadhuk Baginda mengucup keris panjang Diraja. Sebaik-baik sahaja Baginda melafazkan ikrar, lagu 'Raja Bertabal' dipalu diikuti dengan teriakkan 3 kali 'Daulat Tuanku' dan bedilan meriam 21 das.

DYMM Tuanku Yahya Petra ibni AI-marhum Sultan Ibrahim telah diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan pada Disember 1917. Pada Februari 1948 Seri Paduka Baginda telah dilantik dan diisytiharkan menjadi bakal Raja Kelantan dengan gelaran "Tengku Mahkota Kelantan". Baginda kemudiannya telah dimasyhurkan menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul-Naim pada 17 Julai 1961, setelah kemangkatan Seri Paduka Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Ibrahim. Baginda telah dipilih oleh Persidangan Majlis Raja-Raja menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 22 Julai, 1970 dan istiadat mengangkat sumpah bagi perlantikan ini berlangsung pada 21 September 1970. 

Istiadat pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijalankan pada hari ini dalam tahun 1976 telah diiringi oleh Kumpulan Nobat DiRaja dari Alor Setar, Kedah. Dengan perlantikan Baginda sebagai Yang Dipertuan Agong juga menjadikan Baginda Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.







No comments:

Post a Comment