Friday, March 11, 2022

3 Mac 2003 | Bapa Kemerdekaan (100 Tahun Lahir Tunku Abdul Rahman)

Pada 8 Februari 1903, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Star, Kedah. Walaupun dibesarkan dalam kehidupan yang serba mewah, putera raja ini lebih gemar bergaul bersama kanak-kanak desa. Jiwanya sentiasa bersama rakyat dan kasihnya yang mendalam terhadap negara dan rakyat menjadi pendorong utama dalam usaha beliau ke arah pencapaian kemerdekaan Malaysia.

Beliau mendapat pendidikan awal di Kedah dan Pulau Pinang dan menyambung pelajaran ke England di Cambridge University di dalam bidang undang-undang. Beliau memasuki perkhidmatan awam di Pejabat Penasihat Undang-undang Alor Star dan seterusnya sebagai Penolong Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah di beberapa kawasan di Kedah.

Kerjaya beliau dalam bidang perkhidmatan awam menjadi landasan untuk memasuki bidang politik. Kejayaan beliau di pelbagai bahagian perkhidmatan awam memberi keyakinan kepada orang awam untuk memilih beliau sebagai pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Kedah. Setelah Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar meletakkan jawatan sebagai Yang diPertua Umno pada tahun 1951, Almarhum Tunku Abdul Rahman dipilih sebagai penggantinya.

Tidak boleh dinafikan bahawa pencapaian terbesar Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah pencapaian kemerdekaan bagi Malaya. Turunnya bendera Union Jack, digantikan dengan bendera Tanah Melayu pada tengah malam 30 Ogos 1957 adalah detik paling penting dalam sejarah Malaysia dan merupakan bukti paling nyata kasih dan visi beliau untuk negara tercinta. Inilah warisan kebanggaaan yang ditinggalkan oleh seorang raja yang berjiwa rakyat.




                                                    



No comments:

Post a Comment